Definisi Kanser Kanak-Kanak | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» Definisi Kanser Kanak-Kanak

Definisi Kanser Kanak-Kanak

 

  • Mana-mana pertumbuhan yang tidak terkawal atau pembiakan sel yang tidak normal terhasil di dalam tumor.
  • Tidak semua tumor adalah kanser.
  • Oleh itu, tumor boleh menjadi benigna (bukan kanser) atau malignan (kanser).
  • Luka-luka benigna tidak merebak ke kawasan yang jauh (metastasis) tetapi boleh menyebabkan masalah dengan merebak ke kawasan berhampiran atau mengganggu kefungsian.
  • Kanser boleh merebak ke kawasan berhampiran dan juga kawasan yang jauh. Ia boleh berlaku dalam mana-mana organ atau tisu dalam badan dan dinamakan sempena jenis organ dari mana ia timbul.
  • Secara umumnya, kanser dibahagikan kepada kanser yang timbul dari organ pepejal seperti hati, buah pinggang atau kanser yang timbul dari darah dan tisu limfoid atau leukimia/limfoma.
  • Kanser atau barah adalah penyakit yang terjadi apabila sel-sel tubuh rosak dan membesar di luar kawalan. Sel-sel yang tidak terkawal ini tumbuh lebih cepat dan menjadi sel-sel yang disebut tumor. Tumor ada ciri unik yang bergantung daripada mana punca sel-sel tersebut.
  • Umumnya setiap barah adalah berbeza. Ini kerana terdapat banyak jenis-jenis kanser untuk organ dan tisu dalam badan.
  • Kanser yang menyerang kesihatan kanak-kanak selalunya berbeza dengan barah dialami oleh individu dewasa, seperti kanser usus besar, paru-paru dan payudara. Selain itu, punca dan faktor risiko untuk setiap jenis-jenis kanser pediatrik juga berbeza berbanding individu dewasa. Bahkan, tahap rawatan dan kelangsungan hidupnya juga tidak sama.
  • Biasanya, faktor-faktor yang boleh mencetuskan kanser di kalangan kanak-kanak adalah berbeza daripada faktor-faktor yang menyebabkan kanser di kalangan orang dewasa. Ia sering disebabkan oleh perubahan DNA dalam sel yang berlaku pada awal kehidupan kanak-kanak, malah kadang-kadang ia berlaku ketika dia masih berada dalam rahim ibu.
  • Kanser kanak-kanak jarang dikaitkan dengan faktor-faktor risiko berkaitan dengan gaya hidup atau persekitaran. Dalam kebanyakan kes, mutasi (atau perubahan) gen yang tidak diwarisi dalam sel-sel yang berkembang adalah puncanya, tetapi oleh sebab kesilapan-kesilapan ini berlaku secara rawak dan tidak menentu, maka tiada langkah-langkah pencegahan yang berkesan.
  • Pemeriksaan fizikal secara berkala boleh membantu kerana doktor anak anda mungkin dapat mengesan tanda-tanda awal kanser. Namun, kebanyakan tanda-tandanya (misalnya jangkitan yang kerap, demam, kelenjar yang membengkak, lebam, atau anemia) adalah biasa dalam jangkitan atau penyakit lain yang lebih lazim berbanding kanser.
  • Walaubagaimanapun, gejala yang luar biasa seperti demam berpanjangan, kekurangan berat badan, ketulan atau perut kembung tidak patut diabaikan. Jika anda mengesyaki anak anda mungkin menghidapi kanser, ia adalah penting supaya anda mendapatkan bantuan segera daripada pusat perubatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang onkologi pediatrik.
  • Dianggarkan kira-kira 84% kanak-kanak yang didiagnosis menghidap barah masih hidup dalam tempoh 5 tahun kemudian.
  • Doktor yang merawat barah kanak-kanak dikenali sebagai pakar onkologi pediatrik. Mereka dilatih untuk merawat penyakit kanser untuk si kecil.

 

Kemaskini:: 01/09/2021 []

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXESTAJ~