Lagi Inisiatif UPM Bantu Tangani Covid 19 | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» BERITA » Lagi inisiatif UPM bantu tangani covid 19

Lagi inisiatif UPM bantu tangani covid 19

SERDANG – Dua pensyarah dan seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka atau face shield di rumah masing-masing bagi memenuhi keperluan petugas barisan hadapan di beberapa buah hospital di sekitar Lembah Klang.

Projek menghasilkan pelindung muka itu hasil inisiatif Ts Dr Mohd Shahrizal Dolah, Dr Saiful Hasley Ramli dan pelajar pasca siswazah, Mohd Firuz Mohd Anwar dari Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) UPM.

Dr Mohd Shahrizal yang merupakan ketua projek sukarelawan itu berkata, pihaknya menggunakan perbelanjaan sendiri dan lebihan bahan-bahan dari geran penyelidikan hasil sumbangan tiga rakan pensyarah lain iaitu Dr Siti Mastura Ishak, Fabian Husna dan Dr Velu Perumal.

Katanya, kumpulan mereka juga mendapat sumbangan peralatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 3D Printing Malaysia Community for Covid-19 (Group).

Beliau berkata, pelindung muka hasil reka bentuk pasukan itu disumbangkan kepada Hospital Pengajar UPM (HUPM) yang berperanan sebagai makmal ujian bagi mengesan kes awal Covid-19, Hospital Serdang dan Hospital Kajang.

“Kami bertiga tidak menang tangan dan hanya berupaya menghasilkan 100 keping pelindung muka dalam masa seminggu.

“Pada mulanya pelindung muka ini dihantar ke hospital terlibat dengan jumlah kecil berdasarkan jumlah permintaan namun lama-kelamaan permintaan semakin tinggi dan kesemua kumpulan yang terlibat dengan 3D Printing Malaysia Community membekalkan penutup muka mengikut hospital di wilayah yang ditetapkan,” katanya.

Dr Mohd Shahrizal berkata, pihaknya menggunakan plastik percetakan 3D printing iaitu Polylactic Acid (PLA)

 

dan Acrylonitrile Butadiene Styrene (ABS) untuk membuat frame penutup muka (reusable), plastik nipis penutup buku seberat 80 gram (untuk penutup depan), gam, pita dan getah elastik bagi menghasilkan penutup muka tersebut.

Menurutnya, pembuatan sekeping pelindung muka itu mengambil masa satu jam dan satu mesin pencetak 3D boleh menghasilkan sebanyak 15 keping sehari.

"Kami bekerja dari rumah menggunakan konsep kerja Internet of Thing (IoT) di mana semua data percetakan dikongsi menggunakan 'cloud' yang boleh dimuat turun.

“Buat masa ini kami bertiga menggunakan tiga buah mesin cetakan tiga dimensi di rumah masing-masing serta mendapat bantuan produksi dari pasukan 3D printing Selangor. Walau bagaimanapun, jika kami dapat menggunakan pemotong laser, penutup muka lebih cepat dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata. permintaan daripada klinik kesihatan dan hospital swasta sentiasa tinggi dan anggaran permintaan seluruh negara dianggarkan 5,000 keping sehari berikutan kes wabak semakin meningkat.

“Diharapkan lebih ramai sukarelawan yang akan mengambil inisiatif dalam menghasilkan pelindung muka ini bagi menghadapi gelombang ketiga Covid-19," katanya.

Tarikh Input: 30/03/2020 | Kemaskini: 26/11/2020 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXETKAr~