Kesihatan Mental Pelajar Institut Pengajian Tinggi Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Kesihatan Mental Pelajar Institut Pengajian Tinggi Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Kesihatan Mental Pelajar Institut Pengajian Tinggi Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Tanpa disedari masalah Covid-19 mempengaruhi kesihatan mental rakyat Malaysia. Tekanan, kerisauan, serangan panik dan kemurungan mungkin dialami oleh individu terutamanya yang tinggal bersendirian atau berjauhan dari keluarga.

Mengambil contoh situasi pelajar-pelajar yang tinggal di Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada di antara mereka yang mengalami tekanan dan berisiko menghadapi masalah kesihatan mental sekiranya tidak ditangani dengan baik. Mereka perlu dibantu melalui amalan gaya hidup sihat dan khidmat konsultasi kesihatan mental sekiranya perlu.

Berjauhan dari keluarga di samping tidak dapat melakukan aktiviti rutin yang digemari boleh mempengaruhi kesihatan emosi pelajar. Bahkan keluarga mereka turut terkesan dan bimbang dengan keselamatan, kebajikan dan cabaran yang perlu dilalui oleh anak-anak mereka sepanjang PKP.

Kerajaan dan pengurusan IPT telah memainkan peranan yang sebaiknya bagi menjamin kebajikan pelajar. Bekalan makanan serta keperluan asas mencukupi dan kaedah pembelajaran secara atas talian juga telah dilaksanakan.

Di Universiti Putra Malaysia (UPM), pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak Pengurusan Universiti bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin sepanjang fasa PKP. Bilik Gerakan Covid-19, UPM telah diwujudkan bagi menyelaras  segala aktiviti dan keperluan pelajar. Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM  sentiasa memastikan bekalan makanan sebanyak 3 kali sehari dan barangan keperluan asas diberikan kepada pelajar-pelajar yang berada di kampus Serdang dan Bintulu. Bantuan bekalan makanan asas juga diberikan secara berterusan kepada pelajar yang menginap di luar kampus. Selain dana peruntukan dari Kementerian Pengajian Tinggi, UPM juga menerima pelbagai sumbangan dan penajaan dari industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan alumni UPM untuk diagihkan kepada pelajar.

Pengurusan komunikasi krisis sentiasa menjadi keutamaan UPM dalam mendepani Covid-19. Justeru, UPM telah mewujudkan pusat panggilan kecemasan umum dan khas (talian hotline) bagi membolehkan komunikasi krisis dan pertolongan kecemasan dapat dilakukan kepada pelajar secara berkesan dan efisien. Pelajar dan staf UPM sentiasa menerima info terkini mengenai  perkembangan Covid-19 berkaitan kampus menerusi saluran emel rasmi, laman web rasmi dan media sosial UPM. Bahagian HEP, UPM juga berkomunikasi dengan ibu bapa dari semasa ke semasa melalui sesi interaksi dalam talian bagi memberikan perkembangan situasi terkini dan maklum balas perihal kebajikan pelajar.

UPM menerusi inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UPM dengan kerjasama pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UPM juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik bagi memanfaatkan masa terluang pelajar. Pelbagai pertandingan seperti e-sports, video kreatif, video dakwah santai, fotografi kreatif, UPM Tik Tok Challenge,  UPM Fitness Challenge, pertandingan mencipta slogan dan tips penjagaan kesihatan telah dianjurkan. Selain itu, aplikasi permainan juga turut disediakan untuk pelajar muat turun secara percuma. Pelajar-pelajar UPM turut berpeluang membantu usaha membendung penularan Covid-19 melalui penyediaan sut peralatan perlindungan diri (PPE), cecair pembasmi kuman dan sebagainya yang dilaksanakan di dalam kampus.  

Perkhidmatan sokongan psikologi turut disediakan kepada pelajar UPM bagi membantu pengurusan emosi dan kesihatan mental mereka sepanjang PKP. Bahagian Kaunseling UPM menawarkan sokongan psikologi menerusi talian Tele Kaunseling bersama kaunselor UPM, Slot Chit Chat Bimbingan Kaunselor, poster dan video penjagaan kesihatan mental dan tips pengurusan emosi melalui media sosial.

Dengan pelbagai inisiatif dan bantuan dari pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan pengurusan IPT, seharusnya tiada apa yang perlu dibimbangi pelajar. Mereka hanya perlu kekal tenang dan cuba menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

Bagaimana untuk kekal tenang dan menjaga kesihatan emosi?. 

Pengurusan masa adalah aspek yang perlu diberi perhatian agar kehidupan harian tidak bosan. Pelajar-pelajar perlu mengatur jadual harian dengan aktiviti yang sihat dan menyeronokkan.  

Pengajian boleh diteruskan secara dalam talian (online) dan pelajar boleh membuat jadual waktu belajar dan mengulangkaji pelajaran. Perbincangan/ sesi diskusi boleh diatur bersama rakan-rakan dan pensyarah melalui perantaraan media seperti emel, whatsapp, skype dan lain-lain.

Pelajar perlu kekal mengamalkan gaya hidup sihat tanpa melanggar peraturan dan menjaga penjarakan sosial. Penjagaan kebersihan seperti kerap mencuci tangan dengan sabun perlu sentiasa diamalkan. Bersenam secara indoor seperti zumba atau latihan squat boleh dilakukan sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari bagi memastikan kekal aktif.

Pemakanan sihat perlu diamalkan bagi memelihara kesihatan. Pengambilan snek berkalori tinggi seharusnya dielakkan dan digantikan dengan buah-buahan dan snek yang tinggi dengan serat. Buah-buahan dan sayuran diperlukan bagi meningkatkan sistem imuniti badan melawan penyakit seperti Covid-19. Pengambilan kafein dan minuman manis perlu dikurangkan. Pastikan minum air kosong sebanyak 8 gelas sehari dan makan mengikut waktu yang ditetapkan.

Aktiviti harian boleh memberikan impak kepada kualiti tidur. Makan berlebihan dan penggunaan peralatan elektronik berskrin seperti telefon bimbit atau komputer perlu dielakkan sebelum tidur.

Penggunaan internet juga perlu terkawal. Sekiranya, berasa tertekan dan bimbang dengan maklumat berkaitan Covid-19 yang dibaca di internet, hentikan pembacaan dan alihkan perhatian dengan melakukan aktiviti yang memberi ketenangan seperti membaca novel, melukis, menonton drama, mendengar muzik, zikir/ meditasi dan sebagainya. Pastikan maklumat yang diakses adalah dari sumber yang boleh dipercayai serta jangan sebarkan berita palsu.

Mungkin ada di antara pelajar-pelajar mengisi masa lapang dengan bermain game (permainan digital atau video). Walaubagaimanapun, aktiviti ini tidak boleh dilakukan secara berlebihan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengklasifikasikan ketagihan permainan video sebagai masalah kesihatan mental. Terdapat kajian menunjukkan bahawa ketagihan permainan video boleh mempengaruhi kesihatan fizikal dan psikologikal seseorang individu. Sejauh mana perkaitan aktiviti ini dan kesihatan mental di Malaysia perlu dikaji secara terperinci.  

Sekiranya pelajar berasa sedih dan bimbang akan sesuatu yang telah, sedang atau akan berlaku, dapatkan sokongan emosi melalui cara berkomunikasi dengan ahli keluarga, rakan, kaunselor atau individu yang dipercayai. Teknik minda sedar atau mindfulness iaitu fokus semula kepada masa sekarang tanpa memikirkan sesuatu yang telah atau akan berlaku boleh membantu pelajar untuk mengatasi gangguan kerisauan. Teknik pernafasan relaksasi juga berkesan dalam melaraskan semula pernafasan, merehatkan otot dan menenangkan emosi.

Amalan spiritual amat membantu dalam mengurangkan tekanan sekaligus memberikan ketenangan emosi. Individu akan menjadi lebih positif dan menerima segala yang berlaku dengan redha dan sabar.

Pengurusan kewangan perlu bijak dan berhemah. Pelajar perlu menggunakan wang hanya untuk membeli barangan keperluan dan mengelakkan pembaziran. Pembelian barangan secara atas talian perlu dilakukan secara terkawal.

Bagi mengenalpasti risiko seseorang pelajar mengalami masalah kemurungan dan gangguan kerisauan, Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE), Universiti Putra Malaysia telah membangunkan Sistem Penilaian Kesihatan Minda secara atas talian. Sistem penilaian ini boleh diakses secara percuma oleh semua pelajar IPT di Malaysia melalui pautan http://apps.care.upm.edu.my/kajiselidik/kesihatan_minda/

Pelajar yang berisiko mengalami masalah kemurungan dan kerisauan boleh mendapatkan khidmat nasihat dengan  menghubungi  Talian Sokongan Psikososial Covid-19 yang dikendalikan oleh  Kementerian Kesihatan Malaysia dan sukarelawan MERCY Malaysia, Talian Kasih 15999 (Talian Khas Kaunseling Covid-19), Talian Befrienders atau mana-mana talian perkhidmatan bantuan psikologi dan kaunseling. Bagi pelajar-pelajar UPM, mereka boleh memanfaatkan perkhidmatan Tele Kaunseling yang disediakan oleh Bahagian Kaunseling, UPM.

Oleh:
Prof. Datin Dr. Sherina Mohd Sidik
Pakar Perunding Perubatan Keluarga,
Jabatan Psikiatri,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

Timbalan Pengarah,
Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE),
Universiti Putra Malaysia
Emel: sherina@upm.edu.my

 

Tarikh Input: 06/05/2020 | Kemaskini: 06/05/2020 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXDdDAb~