KANSER KULIT | CANCER RESOURCE & EDUCATION CENTER (CaRE)
» ARTICLE » KANSER KULIT

KANSER KULIT

Tidak ramai di Malaysia yang sedar tentang kepentingan untuk melindungi kulit daripada cahaya matahari (UV) untuk mencegah daripada kanser kulit. Walaupun kanser kulit lebih banyak dilaporkan di negara seperti Australia, kanser kulit juga boleh berlaku di Malaysia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa kes kanser kulit non-melanoma dan melanoma telah meningkat sejak beberapa dekad yang lalu. Pada masa ini, di antara 2-3 juta kes non-melanoma dan 132,000 kes melanoma telah dilaporkan di seluruh dunia setiap tahun. Lapisan ozon yang semakin menipis menyebabkan lebih banyak cahaya UV sampai ke permukaan bumi dan ini boleh meningkatkan risiko kanser kulit. Oleh itu, langkah-langkah tertentu perlu diambil oleh individu untuk mengurangkan risiko kanser kulit.

Adakah kanser kulit kerap berlaku di Malaysia?

Walaupun kanser kulit lebih kerap berlaku pada individu yang berkulit cerah, ia juga boleh terjadi kepada mereka yang berkulit gelap. Menurut Laporan Daftar Kanser di Malaysia (3 rd Annual Report of National Cancer Registry 2003-2005), kanser kulit adalah kanser yang kesepuluh paling kerap berlaku di Malaysia, dan menyumbang kepada 2.6% semua kes kanser di Malaysia. Data dari Klinik Dermatologi, Hospital Kuala Lumpur (2006-2014) menunjukkan bahawa basal cell carcinoma adalah kanser kulit yang paling kerap berlaku (34.9%), diikuti dengan cutaneous lymphoma (25.7%) dan squamous cell carcinoma (20.6%). Kes melanoma tidak begitu banyak, dan hanya menyumbang kepada 5.4% semua kes kanser kulit di Klinik Dermatologi, Hospital Kuala Lumpur.

Jenis-jenis kanser kulit

Terdapat dua jenis kanser kulit yang utama:

  1. Non-melanoma skin cancer (Basal cell carcinoma dan squamous cell carcinoma)
  2. Malignant Melanoma (kanser yang paling bahaya dan mempunyai jumlah kematian yang lebih tinggi.)

 

Jenis-jenis kanser kulit yang lain adalah:

  1. Cutaneous lymphoma
  2. Extra-mammary Paget’s disease
  3. Merkel cell carcinoma
  4. Kaposi sarcoma
  5. Lain-lain


Simptom dan Tanda Kanser Kulit

Perubahan pada permukaan kulit adalah salah satu tanda kanser kulit. Ia boleh ditunjukkan dengan ketulan pada permukaan kulit, ulser yang tidak sembuh-sembuh ataupun perubahan pada tahi lalat.

Untuk kanser melanoma secara spesifik, terdapat cara untuk membezakannya dengan tahi lalat biasa iaitu dengan mengingati ABCDE

  • A - Asymmetrical. Bermaksud tahi lalat itu tidak simetri dan tidak sekata
  • B - Border iaitu sempadan tahi lalat. Selalunya ia tidak sekata berbanding tahi lalat yang normal
  • C - Colour iaitu warna tahi lalat. Warna melanoma selalunya tidak sekata. Ada yang cerah dan ada yang gelap.
  • D - Diameter . Diameter melanoma selalunya lebih besar daripada tahi lalat biasa
  • E - Evolving iaitu saiz tahi lalat tersebut semakin besar dari hari ke hari.

Sila berjumpa dengan doktor jika anda menghadapi simptom dan tanda-tanda seperti ini. Jika anda mempunyai ketumbuhan di kulit dengan ciri-ciri seperti di atas, aturkan temujanji untuk berjumpa doktor kulit. Tidak semua ketumbuhan di kulit disebabkan oleh kanser kulit. Doktor anda akan melakukan siasatan lanjut untuk menentukan diagnosis yang tepat

 

Gelombang Ultraviolet (UV)

Gelombang UV merupakan gelombang radiasi yang terhasil daripada matahari. Gelombang UV boleh menembusi kulit dan merosakkan genetik dalam sel kulit.

Terdapat 3 jenis gelombang UV iaitu jenis A(UVA), B(UVB) dan C(UVC).

  • Kebanyakan gelombang UV yang sampai pada permukaan bumi adalah jenis UVA. Gelombanga ini boleh menembusi kulit manusia dan menyebabkan kerosakkan pada genetik kulit manusia
  • Bagi UVB pula, kebanyakkan akan diserap pada lapisan ozon dan hanya sedikit sahaja yang sampai ke permukaan bumi. Gelombang ini tidak menembusi jauh lapisan kulit berbanding UVA. Tetapi ia boleh menyebabkan ‘sunburn’ dan kerosakan genetik
  • UVC adalah gelombang UV yang paling berbahanya. Semuanya diserap secara keseluruhan pada lapisan ozon dan tidak sampai ke permukaan bumi.

Sebagai tambahan, pendedahan pada gelombang UV ini iaitu cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit. Ia juga dikatakan boleh menyebabkan masalah katarak pada manusia.

 

Punca Kanser dan Individu Berisiko

Sesiapa sahaja mempunyai risiko dan boleh terkena kanser. Tetapi terdapat faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu lebih berisiko berbanding orang lain. Faktor-faktor tersebut adalah:

  • Berkulit cerah
  • Mempunyai anak mata berwarna biru atau hijau
  • Mempunyai rambut berwarna perang
  • Tahi lalat yang banyak pada badan
  • Sejarah kanser kulit dalam keluarga
  • Kulit yang sensitif pada cahaya matahari
  • Selalu berjemur dibawah cahaya matahari

 

Pendedahan pada gelombang UV

Jika anda mengelakkan diri anda daripada terdedah dengan gelombang UV walaupun anda mempunyai faktor risiko seperti di atas, maka peratusan anda untuk terkena penyakit ini akan semakin kurang.

Mereka yang sentiasa melakukan aktiviti diluar rumah boleh meningkatkan risiko untuk menghadapi masalah ini terutamanya mereka yang berkulit cerah.

Ini kerana mereka yang berkulit cerah mempunyai pigment melanin yang rendah dalam kulit mereka. Salah satu fungsi melanin ini adalah menyerap gelombang UV dan boleh mengelakkan kerosakan pada sel kulit.

Jika melanin kurang, maka lebih banyak gelombang UV yang masuk ke dalam kulit dan merosakkan genetik pada sel kulit tersebut.

 

Ujian Pemeriksaan

Terdapat beberapa jenis ujian yang perlu dilakukan


Ujian biopsi

Ujian yang selalu dilakukan untuk mengesahkan masalah ini adalah dengan melakukan ujian biopsi.

Dalam ujian biopsi ini, sedikit sampel daripada bahagian kulit yang disyaki mempunyai kanser akan diambil dan diperiksa di bawah mikroskop.

Ia penting untuk mengetahui sama ada terdapat sel kanser di kawasan kulit tersebut ataupun tidak.


MRI, CT-scan dan x-ray

Kesemua ujian ini mungkin akan dilakukan jika pesakit telah disahkan mengalami kanser kulit. Ujian ini penting untuk mengetahui sama ada kanser tersebut telah merebak ketempat lain ataupun tidak.

 

Rawatan Kanser Kulit

Rawatan kanser kulit ini bergantung kepada tahapan kanser tersebut. Jika ia masih lagi berada di bahagian kulit sahaja, maka pembedahan sudah cukup untuk membuang kanser tersebut

Beberapa rawatan kanser ini adalah:

  • Cryotherapy: Kaedah ini boleh digunakan untuk merawat actinic keratosis atau kanser kulit yang kecil, di mana cecair nitrogen digunakan
  • Curretage and electrosurgery:  Sel-sel kanser dikikis menggunakan pisau dan mana-mana sel-sel kanser yang masih tertinggal dimusnahkan menggunakan probe elektrik.
  • Pembedahan:  Kanser kulit akan dipotong setelah ubat bius setempat diberi. Dalam sesetengah kes, kulit normal di sekitar kanser perlu dibuang lebih banyak (wide local excision)
  • Pembedahan Mohs Prosedur ini boleh digunakan di kawasan di mana adalah perlu untuk mengekalkan kulit normal sebanyak mungkin, seperti pada muka dan kawasan hidung, atau untuk kanser yang lebih besar dan berulang.


Semasa pembedahan Mohs, doktor akan membuang kanser kulit sedikit demi sedikit dan memeriksa di bawah mikroskop sehingga semua sel-sel kanser telah habis dibuang. Kaedah ini bagaimanapun, tidak terdapat di Malaysia.

  • Radioterapi: Rawatan ini menggunakan radiasi untuk membunuh sel kanser yang tinggal. Kaedah ini boleh digunakan jika pesakit tidak boleh menjalani pembedahan atau jika kanser tersebut terlalu besar.
  • Kemoterapi: Digunakan untuk membunuh sel kanser yang masih tinggal selepas melakukan pembedahan.
  • Rawatan Topikal Krim:
    • 5-fluorourasil - Krim ini boleh digunakan untuk merawat actinic keratosis.
    • Krim 5% Imiquimod - Krim ini juga boleh digunakan untuk merawat actinic keratosis dan basal cell carcinoma yang kecil.
  • Terapi photodynamic Rawatan ini memusnahkan sel-sel kanser kulit dengan kombinasi cahaya laser dan krim (asid aminolavulenic). Kaedah ini bagaimanapun, tidak terdapat di Malaysia.

 

Cara Mengelakkan Kanser Kulit

Perlindungan daripada gelombang UV adalah penting untuk menggurangkan kebarangkalian untuk menghadapi kanser kulit. Gelombang UV boleh sampai ke kulit anda walaupun dalam keadaan berkabus ataupun jerebu.

Masa yang mempunyai sinaran UV yang tinggi adalah bermula dari pukul 10 pagi hinggalah sampai pukul 4 petang. Oleh itu, kurangkan aktiviti luar ketika pada waktu tersebut. Tetapi jika anda terpaksa berada diluar dalam jangka waktu yang lama ketika itu, anda dinasihatkan untuk pakai krim perlindungan UV.

Centers for Disease Control and Prevention(CDC) mengesyorkan beberapa perkara untuk mengelakkan diri daripada sinaran UV

  • Elakkan daripada terdedah kepada cahaya matahari yang keterlaluan
  • Pakai pakaian yang menutupi bahagian kaki dan tangan
  • Gunakan topi supaya bayang-bayang menutupi bahagian kepala termasuk muka
  • Gunakan cermin mata yang melindungi mata daripada sinaran UV
  • Gunakan krim pelindung suria
  • Periksa kulit anda secara berkala dan laporkan apa-apa perubahan kepada doktor anda

 

 

 

Disediakan oleh: Pn. Shafikah Binti Rahim

Sumber Rujukan:

  1. Habif TP. Premalignant and malignant nonmelanoma skin tumors. In: Clinical Dermatology: A Color Guide to Diagnosis and Therapy. 6th ed. St. Louis, Mo.: Saunders Elsevier; 2016.
  2. Jameson JL, et al., eds. Cancer of the skin. In: Harrison’s Principles of Internal Medicine. 20th ed. New York, N.Y.: The McGraw-Hill Companies; 2018.
  3. Niederhuber JE, et al., eds. Melanoma. In: Abeloff’s Clinical Oncology. 5th ed. Philadelphia, Pa.: Churchill Livingstone Elsevier; 2014.
  4. Sarcoma-Kaposi. American Society of Clinical Oncology.
  5. Sebaceous carcinoma: Signs and symptoms. American Academy of Dermatology.
  1. https://www.cancer.net/navigating-cancer-care/prevention-and-healthy-living/protecting-your-skin-sun
  2. https://drcaroleigh.wordpress.com/2019/05/24/may-is-national-skin-cancer-awareness-month-4/
  3. https://thediagnosa.com/kanser-kulit-punca-simptom-rawatan/
  4. http://www.dermatology.org.my/pdf/Kanser%20Kulit%20Dr%20Azura%20Malay.pdf

 

 

 

Date of Input: 28/04/2021 | Updated: 28/04/2021 | aimerul

MEDIA SHARING

CANCER RESOURCE & EDUCATION CENTER (CaRE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1011
03-9769 2706
BVMKMW0:12:22