MAKANAN ULTRAPROSES DAN RISIKO OBESITI | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » MAKANAN ULTRAPROSES DAN RISIKO OBESITI

MAKANAN ULTRAPROSES DAN RISIKO OBESITI

Kebanyakkan makanan yang terdapat di pasaran sekarang telah diproses dan kelihatan berbeza daripada keadaan asalnya semasa dituai. Pemprosesan makanan bertujuan mengurangkan kerosakan dan  menjamin keselamatan sesuatu makanan. Namun, pada masa kini pemprosesan makanan dilakukan bagi  menghasilkan produk makanan yang dapat digunakan dalam masa yang lebih singkat, jimat dan sesuai dengan keperluan pengguna.  Terdapat pelbagai kaedah pemprosesan makanan bermula daripada teknik asas seperti pengeringan dan penggaraman sehingga kepada kaedah perkilangan yang lebih kompleks yang mengubah sepenuhnya ciri-ciri asal sesuatu makanan. Kesan pemprosesan makanan terhadap kesihatan manusia bergantung kepada jenis, intensiti dan tujuan pemprosesan makanan itu sendiri.           

Apakah makanan ultraproses?

Makanan ultraproses merujuk kepada perumusan yang terhasil menggunakan beberapa bahan tambah dan melalui beberapa siri proses (ultraproses). Kebanyakkan bahan-bahan yang digunakan dalam produk makanan ultraproses diperolehi daripada sumber industri yang berkos rendah manakala bahan tambah makanan yang digunakan pula bertujuan untuk  meniru  rasa makanan yang diproses secara minimal atau menghilangkan rasa yang tidak diingini dalam keluaran akhir. Hasilnya produk makanan ultraproses kelihatan menarik dan amat disukai oleh pengguna kerana makanan tersebut boleh dimakan pada bila-bila masa dan dimana sahaja. Disamping itu, penghasilan produk makanan ultraproses sangat menguntungkan industri makanan  seterusnya memberi saingan sengit kepada  makanan semulajadi yang sedia dimakan dan juga hidangan makanan segar. Antara contoh makanan ultraproses adalah minuman ringan, snek savuri, produk daging bancuhan semula dan makanan sejuk beku segera. Memandangkan  makanan ultraproses merupakan penyumbang utama kepada diet yang tidak sihat, pengguna perlu mengetahui pengkelasan makanan diproses untuk mengelakkan kesan negatif akibat dari pengambilan makanan ultraproses yang terlalu banyak. Berikut merupakan pengkelasan makanan mengikut kumpulan makanan, kaedah dan tujuan pemprosesan serta contoh makanan.

 

Kesan terhadap kesihatan dan risiko obesiti

Perubahan paling ketara dalam sistem makanan di negara berpendapatan tinggi dan sederhana ialah transformasi corak diet berasaskan hidangan yang tersedia daripada makanan yang tidak diproses atau diproses secara minimum kepada  produk ultraproses. Makanan ultraproses kelihatan seperti makanan sihat, diiklan dan dipasarkan secara agresif, sangat enak dan sangat kondusif dimakan sebagai snek.  Namun begitu, produk makanan ultraproses sebenarnya mempunyai kualiti pemakanan yang  rendah, tinggi ketumpatan tenaga, gula ringkas, garam, asid lemak trans serta rendah serabut diet yang meningkatkan risiko kegemukan dan penyakit kronik yang berkaitan.

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan produk makan ultraproses dikaitkan dengan kandungan lemak dalam darah yang tidak normal di kalangan kanak-kanak yang akhirnya meningkatkan risiko penyakit jantung, sindrom metabolik dan obesiti di kalangan dewasa. Diet yang tinggi makanan ultraproses juga mengurangkan jumlah tenaga yang dikeluarkan melalui mekanisma diet teraruh termogenesis Selain itu, bahan sintetik, bahan tambah makanan,  dan asid lemak trans yang terkandung dalam produk seperti biskut  meningkatkan lagi risiko penyakit jantung dan kencing manis. Oleh itu, pengambilan produk makanan ultraproses perlulah dikawal supaya tidak melebihi keperluan kalori individu untuk mengelakkan kesan negatif terhadap kesihatan. Pengguna perlu bijak membuat pilihan makanan berdasarkan pengetahuan tentang pemprosesan dan nilai pemakanan sesuatu produk. Keseluruhan artikel boleh dibaca di Dewan Masyarakat, Julai 2017.

Artikel ini telah ditulis oleh Dr. Nurul Shazini Ramli. Beliau adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia. Beliau boleh dihubungi pada alamat email berikut: shazini@upm.edu.my

Tarikh Input: 11/03/2019 | Kemaskini: 11/03/2019 | shuhada_md

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXDdCAA~