Kanser Kepala & Leher | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Kanser Kepala & Leher

Kanser Kepala & Leher

Kanser kepala dan leher adalah sekumpulan kanser yang terdiri daripada kanser yang berasal dari pangkal tengkorak sehingga esofagus. Ia terdiri daripada bibir, rongga mulut (termasuk lidah), rongga hidung, sinus, tekak, larink, farink dan telinga. Ia juga melibatkan kawasan kelenjar air liur utama Parotid dan Submandibular Apabila kanser ini melibatkan otak, mereka juga memerlukan kepakaran pakar neurologi.

Kanser ini merbahaya kerana ia boleh menyebabkan penyempitan saluran pernafasan atau pemakanan. Ia boleh merebak ke kawasan persekitarannya atau ke organ lain seperti hati, paru-paru atau tulang.

Kanser sel kubah membentuk 90% daripada semua kanser kepala dan leher. Ini berasal dari lapisan epitelium kawasan yang terjejas. Kanser kepala dan leher tersebar ke nodus limfa di kawasan leher dahulu. Kelenjar nodus limfa yang diperbesarkan mungkin menjadi tanda pertama yang diketahui oleh pesakit.

Kaedah rawatan terkini adalah secara pembedahan, rawatan radiotherapi, kimotherapi atau gabungan rawatan tersebut.

PUNCA KANSER KEPALA DAN LEHER

Kebanyakan penyakit kanser tidak diketahui puncanya. Walaubagaimanapun,ada yang dikaitkan dengan faktor genetic/keturunan seperti kanser Pangkal Hidung. Selain dari itu,faktor-faktor penymbang termasuklah amalan merokok, minuman beralkohol, makan sirih, kapur atau gambir, penjagaan mulut yang tidak sempurna, jangkitan virus dan sebagainya.

 

TANDA-TANDA KANSER KEPALA DAN LEHER

  1. Bengkak pada leher atau anggota yang terlibat.
  2. Luka yang tidak sembuh melebihi 2 minggu.
  3. Pendarahan hidung yang lambat berhenti kecuali ada penyebab seperti trauma.
  4. Sukar bernafas akibat penyempitan saluran pernafasan.
  5. Sukar atau sakit semasa menelan.
  6. Mata kabur atau nampak berbayang.
  7. Gigi reput atau mudah tanggal.
  8. Hidung tersumbat.
  9. Telinga bernanah dan berdarah.
  10. Perubahan pada suara.
  11. Batuk berdarah.
  12. Juling yang bukan semulajadi atau sejak lahir.
  13. Sakit kepala yang berterusan.

 

APA YANG PERLU SAYA LAKUKAN JIKA MENDAPAT TANDA-TANDA DIATAS?

Anda perlu berjumpa dengan doktor untuk rujukan kepada pakar Otorinolaringologi atau doktor pergigian bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Kanser jenis ini mempunyai peluang baik untuk sembuh jika mendapat rawatan diperingkat awal. Sedikit tisu akan diambil untuk pemeriksaan makmal bagi pengesahan jenis kanser yang dihidapi. Pemeriksaan pengimejan juga dilakukan untuk penentuan tahap penyakit yang dialami, samada setempat atau telah merebak ke bahagian lain. Setelah semua keputusan diperolehi, Doktor akan memberi penerangan dan cara rawatan bersesuaian dengan status penyakit kanser yang dialami.

 

DIAGNOSIS

Sebaik sahaja diagnosis kanser disyaki, pesakit akan menjalani pemeriksaan endoskopik di kawasan yang terjejas. Jika tisu abnormal dilihat, MRI (Imbuhan Resonans Pengimejan) atau CT scan sering diperlukan.

 

RAWATAN KANSER KEPALA DAN LEHER

Rawatan penyakit kanser bergantung pada jenis kanser tersebut dan tahap penyakit yang dialami. Terdapat 4 kemungkinan untuk rawatan kanser iaitu:

  1. Pembedahan
    Pembedahan biasanya mengambil masa yang panjang dan ianya adalah pembedahan yang rumit (major) merangkumi pembuangan ketumbuhan dan kelenjar limfa dileher bagi mengelakkan kanser merebak ke organ lain. Pembedahan rekonstruksi mungkin diperlukan bagi menutup luka akibat pembedahan pembuangan tisu kanser.
  2. Radioterapi
    Rawatan radiotherapi dijalankan di Pusat Rawatan Radiotherapi. Pesakit perlu pergi ke pusat tersebut setiap hari kecuali hari minggu atau cuti am. Rawatan diberi diantara  20 – 40 kali rawatan merangkumi 2 – 3 bulan bergantung kepada arahan Doktor Onkologi. Sinaran radioterapi mengambil masa lebih kurang 5 minit setiap kali rawatan. Kebanyakkan pesakit mengalami masalah kekeringan bibir, cepat dahaga dan kulit bertukar warna di bahagian yang dirawat dan sebagainya.
  3. Kemoterapi
    Rawatan kimoterapi dijalankan melalui infusi intravenous. Ubat ini perlu diberikan selama beberapa hari. Sebelum rawatan dimulakan, ujian darah diambil untuk menentukan tahap kecergasan pesakit dan tiada sebab kesihatan yang menghalang ianya digunakan. Hanya pesakit yang cergas saja diberi ubat kimoterapi. Pesakit boleh menerima rawatan setelah dimasukkan didalam wad atau sebagai rawatan harian. Rawatan diselangkan dengan waktu rehat selama 3 – 4 minggu sebelum rawatan ulangan diberikan merangkumi pusingan sebanyak 6 kali. Dos tambahan mungkin diberi mengikut preskripsi. Pesakit mungkin mengalami muntah-muntah, rambut gugur, badan lesu dan demam.
  4. Gabungan diantara rawatan diatas.

Jika anda datang pada peringkat awal, besar kemungkinan penyakit kanser anda dapat disembuhkan. Jika anda datang lewat, gabungan daripada rawatan diatas adalah yang terbaik. Anda dinasihatkan supaya mengikut nasihat doktor. Kesan sampingan daripada rawatan memang ada, tetapi ramai pesakit yang menerima rawatan mampu mengatasi kesan sampingan tersebut.

Dalam senario kes paling buruk di mana ada peringkat empat kanser (sel-sel kanser telah tersebar di seluruh badan) penjagaan paliatif akan disediakan untuk meningkatkan keselesaan, mengurangkan kesakitan dan memudahkan penderitaan.

Kadar kesedaran masyarakat untuk mencegah kanser kepala dan leher di Malaysia telah meningkat tetapi masih belum mencapai tahap yang memuaskan dan mereka yang mengalami kanser ini adalah kerana tidak pernah menjalani saringan secara teratur. Jika mereka boleh, kenapa anda tidak?

 

LANGKAH PENCEGAHAN

  • Elakkan memakan kapur sirih
  • Elakkan atau kurangkan makanan berjeruk atau masin
  • Elakkan merokok dan penggunaan tembakau
  • Elakkan mengambil minuman beralkohol
  • Mengekalkan penjagaan gigi palsu. Kedudukan gigi palsu yang sesuai boleh memerangkap tembakau dan penyebab kanser bahan alkohol itu. Pemakai gigi palsu perlu memastikan gigi palsu mereka dinilai oleh doktor gigi sekurang-kurangnya setiap lima tahun untuk memastikan pemasangan yang baik. Gigi palsu perlu dikeluarkan setiap malam dan dibersihkan serta dibilas dengan teliti setiap hari

Disediakan oleh: Puan Shafikah binti Rahim (Jururawat Pakar Klinikal)

Sumber:

http://www.kk.usm.my/index.php/95-doktor-usm-di-radio/119-kesedaran-mengenai-kanser-kepala-dan-leher-cegah-sebelum-parah

http://www.myhealth.gov.my/kanser-kepala-a-leher/

https://www.orientalmedical.com.my/perkhidmatan-kami/displin-medikal/kanser-kepala-dan-leher/?lang=ms

http://www.ukm.my/headneckcancer/ms/kanser-kepala-leher/info-kanser-kepala-leher/simptom/

Tarikh Input: 05/04/2022 | Kemaskini: 09/01/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXDdFAc~