Kanser Berkaitan HIV/ AIDS | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Kanser Berkaitan HIV/ AIDS

Kanser Berkaitan HIV/ AIDS

Tema:"Solidariti Sejagat, Tanggungjawab Bersama"

PENGENALAN: KANSER BERKAITAN HIV/AIDS

Di sini anda akan mengetahui beberapa maklumat asas mengenai kaitan atau hubungan di antara penyakit kanser dan HIV/ AIDS dan beberapa bahagian organ terlibat yang mungkin dihidapi oleh pesakit.

Mengenai HIV / AIDS

Sindrom kekurangan imuniti (AIDS) adalah penyakit sistem imun yang disebabkan oleh jangkitan dengan virus Human Imunodefisiensi (HIV). HIV sering disebarkan melalui darah dan hasil rembesan badan, seperti air mani. Seseorang dengan HIV sangat terdedah kepada keadaan yang boleh mengancam nyawa kerana HIV melemahkan sistem imun badan yang teruk. Apabila jangkitan HIV disebabkan oleh gejala dan sindrom penyakit tertentu, penyakit ini disebut sebagai Acquired immunodeficiency syndrome (AIDS).

Mengenai kanser berkaitan HIV/AIDS

Penghidap HIV / AIDS mempunyai peningkatan risiko kanser seperti berikut:

  • Sarkoma Kaposi (kanser kulit)
  • Limfoma Non-Hodgkin (NHL) (kanser darah)
  • Kanser serviks (kanser bahagian reproduktif wanita)

 

Bagi penghidap HIV, tiga jenis kanser ini sering disebut "keadaan yang menyebabkan AIDS". Ini bermaksud jika seseorang dengan jangkitan HIV mempunyai salah satu daripada kanser ini, boleh dikatakan bahawa AIDS telah berkembang.

Hubungan di antara HIV / AIDS dan kanser sukar untuk difahami, tetapi kaitannya mungkin bergantung pada sistem imuniti yang lemah. Sebilangan besar jenis kanser ini bermula apabila sel yang sihat berubah dan membesar di luar kawalan, serta membentuk jisim yang disebut tumor. Tumor boleh menjadi malignan (barah) atau benign (bukan barah). Tumor malignan akan bersifat agresif, ia boleh membesar dan merebak ke organ lain dalam badan. Tumor benign bermaksud tumor boleh membesar dan tidak akan merebak.

Jenis kanser yang paling biasa bagi penghidap HIV / AIDS adalah seperti di bawah:

Sarkoma Kaposi

 

 

Sarkoma Kaposi adalah sejenis sarkoma tisu lembut yang secara kebiasaannya terjadi pada lelaki yang lebih tua, berketurunan Yahudi atau Mediterranean, dan pemuda di Afrika, atau orang yang telah melakukan pemindahan organ. Kini, sarkoma Kaposi sering berlaku pada lelaki homoseksual dengan HIV / AIDS dan berhubung dengan jangkitan virus herpes manusia 8 (HHV-8). Sarkoma Kaposi pada penghidap HIV juga disebut wabak sarkoma Kaposi.

Sarkoma Kaposi yang berkaitan dengan HIV / AIDS menyebabkan lesi yang muncul lebih dari satu bahagian badan, termasuk kulit, kelenjar nodus limfa, dan organ-organ seperti hati, limpa, paru-paru, dan saluran pencernaan.

Limfoma Non – Hodgkin

  

 

Limfoma Non-Hodgkin (NHL) adalah kanser sistem limfa. Limfoma bermula apabila sel yang sihat dalam sistem limfatik berubah dan membesar di luar kawalan, dan membentuk tumor. Sistem limfa terdiri daripada saluran kapilari yang nipis dan bercabang ke seluruh bahagian badan. Tugasnya adalah untuk melawan jangkitan. Sistem limfa membawa cecair limfa, cecair tidak berwarna yang mengandungi sel darah putih yang disebut limfosit. Limfosit melawan kuman di dalam badan. Kumpulan organ kecil berbentuk seperti kacang yang disebut kelenjar nodus limfa terletak di seluruh badan pada bahagian yang berlainan dalam sistem limfa. Kelenjar nodus limfa terdapat di dalam kawasan perut atau abdomen, pangkal paha, pelvis, ketiak, dan leher. Bahagian-bahagian lain dari sistem limfa termasuk limpa, yang menghasilkan limfosit dan menapis darah; thymus, organ di bawah tulang dada (sternum); tonsil, terletak di kerongkong; dan sumsum tulang, iaitu tisu merah di dalam tulang yang membuat sel darah dan platelet.

Terdapat beberapa jenis NHL yang berbeza. Jenis NHL yang paling biasa dihidapi oleh penghidap HIV / AIDS tahap akhir termasuk:

  • Limfoma sel B yang agresif, selalunya jenis sel B atau Burkitt yang bersaiz besar
  • Limfoma pada sistem saraf pusat utama, yang mempengaruhi otak
  • Limfoma efusi primer, yang menyebabkan cecair berkumpul di sekitar paru-paru, jantung atau di abdomen.

Baru-baru ini, doktor mendapati bahawa, walaupun penghidap HIV / AIDS yang terkawal berkemungkinan akan dapat kanser NHL.

Kanser serviks

 

 

Kanser serviks bermula pada bahagian serviks wanita, bahagian bawah rahim yang sempit. Rahim atau uterus adalah bahagian janin berada semasa kehamilan. Serviks menghubungkan bahagian bawah rahim dengan vagina dengan faraj, ia membentuk saluran kelahiran.

Wanita yang menghidapi HIV / AIDS mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat neoplasia intraepithelial serviks (CIN), iaitu pertumbuhan sel pra kanser di serviks yang dikaitkan dengan jangkitan Human papillomavirus (HPV). CIN gred tinggi boleh berubah menjadi kanser serviks yang invasif.

Bagi penghidap HIV / AIDS juga berkemungkinan akan menghidapi kanser lain seperti:

  • Limfoma Hodgkin
  • Angiosarcoma, yang bermula di lapisan saluran darah
  • Kanser anal (dubur)
  • Kanser hati
  • Kanser mulut dan tekak
  • Kanser paru-paru
  • Kanser testis
  • Kanser zakar
  • Kanser kolorektal (usus besar)
  • Kanser kulit, termasuk sel basal karsinoma, sel skuamos karsinoma dan melanoma

 

Hubungan antara HIV dan kanser telah dikaji secara menyeluruh. Jangkitan HIV membawa kepada sistem pertahanan tubuh yang lemah dan bilangan sel CD4 + T yang lebih rendah, atau jumlah yang membantu melawan jangkitan.

Ini berkemungkinan orang yang hidup dengan HIV akan mendapat penyakit kanser, seperti papillomavirus manusia dan herpesvirus Kaposi sarkoma. Rawatan dengan kombinasi antiretroviral (cART), yang menggunakan lebih daripada satu ubat untuk memerangi jangkitan HIV dan mengekalkan sistem pertahanan tubuh, jadi kaedah ini akan menurunkan risiko jangkitan dan kanser yang berkaitan dengan HIV.

Dalam dua dekad yang lalu, cART telah membantu penghidap HIV hidup lebih lama; namun, terdapat peningkatan risiko kanser ketika mereka meningkat usia, sama seperti orang tanpa HIV. Ini bermaksud bahawa penghidap HIV juga harus menyedari risiko mereka terkena jenis kanser yang lain.

Mengurangkan risiko kanser

Kanser adalah salah satu penyakit yang biasa ditemui pada penghidap HIV di Amerika Syarikat dan negara-negara maju yang lain. Ia juga merupakan penyebab utama kematian penghidap HIV. Kanser paru-paru, hati, limfoma Hodgkin, rektum, otak dan leher adalah beberapa jenis barah yang bukan AIDS, dan kebiasaanya pada populasi positif HIV. Kanser ini dikaitkan dengan faktor risiko seperti merokok, keradangan kronik akibat HIV, dan adanya virus lain, seperti virus Epstein-Barr, hepatitis B, atau hepatitis C.

Sukar untuk merawat semua virus yang menyebabkan kanser. Namun, ada perkara yang boleh dilakukan untuk mengubah beberapa faktor dan menurunkan risiko kanser.

  • Pengambilan ubatan HIV. Mengekalkan jumlah CD4 + T-sel yang lebih tinggi supaya dapat mengurangkan risiko kanser yang mendefinisikan AIDS, seperti sarkoma Kaposi dan jenis limfoma tertentu.
  • Berpengetahuan mengenai virus lain. Seseorang yang mempunyai virus hepatitis dan HIV mempunyai peningkatan risiko mendapat kanser hati. Kini terdapat vaksin antivirus yang dapat merawat hepatitis B dan HIV, dan vaksin atau ubatan lain-lain yang dapat menyembuhkan hepatitis C.
  • Berhenti merokok. Merokok menyebabkan kanser paru-paru dan boleh meningkatkan risiko untuk kanser lain, seperti kanser serviks dan kanser bahagian kepala dan leher. Ia juga menyumbang kepada emfisema, penyakit kardiovaskular (jantung), dan lain-lain penyakit. Kanser paru-paru adalah penyebab kematian berkaitan kanser yang paling biasa pada penghidap HIV, jadi perlu berusaha untuk menghentikan tabiat merokok.
  • Lakukan pemeriksaan. Wanita dengan HIV harus menjalani ujian Pap Smear setiap tahun untuk mengesan kanser serviks. Selepas tiga ujian Pap biasa, saringan dilakukan setiap tiga tahun seumur hidup. Pemeriksaan anal digital setiap tahun dapat membantu mengesan kanser anal/ dubur pada peringkat awal juga. Tiada prosedur pemeriksaan khas untuk kanser anal/dubur, tetapi gejala anal/ dubur seperti ketuat, sakit, atau pendarahan, mestilah segera membuat pemeriksaan dan dirawat. Penghidap hepatitis dan HIV perlu menjalani pemeriksaan ultrasound hati dua kali setahun. Juga perlu mengikuti garis panduan yang sama untuk pemeriksaan kanser usus dan payudara seperti orang yang tidak mempunyai HIV.
  • Makan makanan yang sihat. Anda boleh menurunkan risiko kanser payudara, prostat, perut, usus besar, dan rektum dengan diet yang sihat.
  • Banyakkan bersenam, jaga berat badan yang ideal. Bersenam secara berkala dapat menurunkan risiko anda daripada mendapat beberapa jenis kanser.
  • Elakkan pengambilan dadah dan alkohol. Dadah bukanlah risiko kanser, tetapi boleh membahayakan sistem imun dan menjadikannya lebih sukar untuk sihat dengan HIV. Anda boleh menurunkan risiko barah mulut, tekak, hati, dan payudara (pada wanita) dengan tidak minum alkohol. Sekiranya anda mempunyai hepatitis C kronik dan penyakit hati, jangan minum sama sekali.
  • Lindungi diri anda dari cahaya matahari. Pakai pelindung matahari yang mempunyai SPF 15 atau lebih tinggi. Pakai topi, cermin mata hitam dan pakaian untuk melindungi anda dari cahaya matahari.

 

Pengesanan Awal Kanser

Lakukan pemeriksaan perubatan secara berkala. Berbincang dengan doktor anda mengenai risiko kanser dan masalah yang perlu anda beri perhatian. Ambil tahu mengenai ujian yang boleh anda dapatkan walaupun tidak mempunyai tanda-tanda kanser:

  • Pemeriksaan serviks (sitologi berasaskan cecair / Pap smear) untuk kanser serviks.
  • Mamogram untuk barah payudara wanita.
  • Pemeriksaan kolon / rektum/ Kolonoskopi/ pemeriksaan najis untuk lelaki dan wanita dari pertengahan 40-an.
  • Peperiksaan prostat untuk lelaki berusia pertengahan 40-an.
  • Pemeriksaan pergigian dan oral oleh doktor gigi setiap enam bulan.

 

Ketahui tanda-tanda amaran kanser dan lakukan pemeriksaan sendiri. Sekiranya anda melihat tanda-tanda amaran ini, beritahu doktor atau doktor gigi anda dengan segera:

  • Sakit yang tidak sembuh. Perhatikan jika ada ketumbuhan baru pada kulit atau perubahan pada saiz, warna, atau bentuk tahi lalat atau ketuat.
  • Benjolan atau rasa keras pada kulit, terutama pada payudara wanita dan di testis lelaki dan kawasan kelangkang.
  • Pemeriksaan oral: periksa bahagian dalam mulut, bibir, gusi, dan lidah perhatikan jika ada luka, bengkak atau pendarahan, tompok-tompok putih, kudis, atau retakan.
  • Pendarahan atau kehilangan cecair badan yang tidak normal.
  • Perubahan tabiat usus atau pundi kencing.
  • Batuk atau sakit tekak pada jangka masa yang lama.
  • Pedih ulu hati atau kesukaran menelan.

 

Dapatkan rawatan bagi kanser

Sekiranya anda penghidap HIV dan didiagnosis menghidapi kanser, dapatkan rujukan dan bertemu pakar onkologi yang berpengalaman bagi merawat kanser serta mempunyai pengalaman merawat penghidap HIV. Secara umum, rawatan untuk kanser pada penghidap HIV adalah sama dengan mereka yang HIV-negatif. Sebagai contoh, kajian bagi limfoma Hodgkin menunjukkan bahawa pesakit, tanpa mengira status HIV mereka, menerima rawatan kemoterapi yang sama, kadar kelangsungan hidup adalah sama, walaupun penghidap HIV mengalami kanser tahap akhir.

Pakar perubatan bagi penyakit berjangkit yang menyediakan rawatan HIV dan pakar onkologi harus bekerjasama untuk mengenal pasti plan perancangan rawatan yang tepat untuk kedua-dua keadaan. Pakar penyakit berjangkit boleh memberi nasihat mengenai ubat HIV untuk mencegah interaksi ubat dengan rawatan kanser.

Walaupun terdapat ujian klinikal berkenaan kanser, penghidap HIV perlu dikecualikan kerana bimbang mengenai keselamatan rawatan kanser dan kemungkinan interaksi ubat dengan cART ini mulai berubah. Tetapi mpada masa kini beberapa pakar onkologi mengesyorkan agar penghidap HIV dimasukkan dalam ujian klinikal kecuali ada alasan yang jelas untuk mereka tidak boleh sertai dalam kajian tersebut. Pesakit boleh bertanyakan kepada doktor, apakah ujian klinikal yang ada untuk anda atau jika perlu untuk anda mendapatkan pendapat atau pandangan kedua.

Kekal Sihat untuk Mencegah Kanser

HIV melemahkan sistem imun dan berkemungkinan jangkitan virus atau tumor lain yang boleh menyebabkan kanser. Para saintis sedang bekerja keras untuk mengetahui hubungan antara HIV, virus lain, dan kanser serta menghasilkan ubat-ubatan bagi mencegah dan merawat penyakit ini. Sementara itu, lakukanlah yang termampu untuk kekal sihat dan mencegah penyakit kanser.


SUMBER:

https://www.cancer.net/cancer-types/hivaids-related-cancer

https://www.medpagetoday.com/hivaids/hivaids/72740

https://www.aids2020.org/theme-and-objectives/

 

Disediakan oleh: Puan Shafikah Rahim

 

Tarikh Input: 01/12/2020 | Kemaskini: 09/01/2023 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXETUA6~