Faktor Risiko Utama Yang Menyebabkan Kanser Hati, Jaga-jaga! | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » Faktor Risiko Utama Yang Menyebabkan Kanser Hati, Jaga-jaga!

Faktor Risiko Utama Yang Menyebabkan Kanser Hati, Jaga-jaga!

Walaupun penyebab penyakit hati atau kanser hati yang sebenar masih tidak jelas, namun saintis telah mengenal pasti beberapa faktor risiko atau punca yang boleh meningkatkan kecenderungan mendapat penyakit tersebut.

Masalah kesihatan ini boleh berlaku pada semua peringkat umur namun ia lazim didiagnosis dalam kalangan orang dewasa.

Menurut kajian yang diterbitkan di laman jurnal Sage pada tahun 2018, kanser hati dan kanser saluran hempedu mempunyai corak peningkatan insiden yang signifikan di seluruh dunia.

Pemahaman berkaitan dengan faktor risiko dan punca kanser hati boleh membantu mengesan kanser tersebut pada peringkat awal.

 

Faktor risiko lazim atau penyebab penyakit hati

Seperti kebanyakan proses patologi kanser, barah hati bermula dengan mutasi pada maklumat genetik yang menyebabkan proses pembahagian sel menjadi tidak terkawal.

Oleh sebab kanser merupakan satu keadaan kesihatan yang kompleks, ia kebiasaannya terbentuk hasil daripada interaksi daripada pelbagai jenis faktor.

Antara faktor risiko yang lazim adalah seperti berikut:

#1 Bangsa dan jantina

Kajian menunjukkan mereka yang tinggal di Kepulauan Pasifik dan Benua Asia mudah untuk mendapat kanser hati berikutan masalah hepatitis yang epidemik di kawasan tersebut.

Walaupun insiden kanser hati dalam kalangan penduduk Kaukasia masih rendah, tapi jika dilihat pada trend, ia menunjukkan corak peningkatan pada setiap tahun.

Jika dilihat pada konteks jantina pula, masalah kanser ini lebih lazim didiagnosis dalam kalangan lelaki berbanding wanita.

 

#2 Jangkitan hepatitis B

Jangkitan kronik oleh virus hepatitis B merupakan penyebab utama penyakit hati terutamanya di benua Afrika dan Asia.

Walaupun proses penyakit yang dialami oleh setiap individu agak berlainan, namun secara amnya, risiko barah meningkat kesan daripada jangkitan oleh virus tersebut.

Mereka yang mengalami jangkitan ini kebiasaannya tidak sedar mereka telah dijangkiti memandangkan penghidap jarang menunjukkan simptom.

Meskipun begitu, terdapat rawatan yang boleh membantu membasmi virus tersebut. Namun, 5% daripada jumlah mereka yang dijangkiti akan mengalami jangkitan kronik.

 

#3 Jangkitan hepatitis C

Jangkitan oleh hepatitis C merupakan faktor utama bagi kanser hati di negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan beberapa buah negara di benua Eropah.

Berbeza dengan jangkitan hepatitis B, kebanyakan penghidap hepatitis C tidak mencapai kesembuhan walaupun dengan rawatan perubatan.

Dianggarkan 20 hingga 30 peratus pesakit yang dijangkiti akan mengalami komplikasi sirosis.

Jika rawatan diberikan setelah hepatitis C didiagnosis, risiko kanser hati boleh dikurangkan walaupun kesembuhan tidak dijamin.

 

 

#4 Penyakit hati berlemak bukan alkohol (NAFLD)

Ini merupakan keadaan kesihatan yang menyebabkan pengumpulan lemak pada organ hati.

Berbeza dengan penyakit hati beralkohol, punca berlakunya masalah ini masih tidak jelas.

Namun, masalah autoimun dan kecenderungan genetik dianggap sebagai faktor penting dalam mekanisme terjadinya NAFLD.

Mereka yang didiagnosis dengan masalah kesihatan ini mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser hati.

 

#5 Imunotindasan (immunosuppression)

Mereka yang mengalami masalah imunotindasan mempunyai risiko tinggi untuk mendapat pelbagai jenis barah termasuk kanser hati.

Jangkitan kronik yang boleh menyebabkan masalah imunotindasan seperti HIV/AIDS dikaitkan dengan risiko setinggi 5 kali ganda untuk didiagnosis dengan barah hati.

Selain daripada itu, mereka yang menerima organ juga mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk mendapat masalah kanser berbanding dengan populasi umum.

 

#6 Systemic Lupus Erythematosus (SLE)

Mereka yang didiagnosis dengan masalah lupus mempunyai risiko 2 kali ganda untuk mendapat kanser hati. Namun, kaitan di antara kedua-duanya masih lagi tidak jelas.

 

#7 Kencing manis

Penghidap kencing manis mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat masalah kanser hati berbanding dengan populasi umum. Oleh itu, kencing manis merupakan salah satu punca penyakit barah atau kanser hati.

Namun, rawatan menggunakan ubat metformin boleh mengurangkan risiko tersebut.

 

#8 Terdedah kepada bahan kimia (risiko pekerjaan)

Terdapat bahan kimia yang bersifat karsinogen, ia boleh menjadi penyebab penyakit kanser hati jika terdedah kepadanya.

Antaranya adalah:

  1. Vinyl chloride (plastik)
  2. Asid perfluorooktanoik (PFOA)
  3. Akrilamid (kumbahan)
  4. Bifenil berpoliklorin (peralatan elektrik)
  5. Bahan kimia perfluorin (air minuman tercemar)
  6. Trichloroethylene (pelupus cat)

 

Mereka yang bekerja menggunakan bahan tersenarai perlu lebih berhati-hati dan peka terhadap aspek keselamatan diri (penggunaan peralatan perlindungan peribadi).

 

#9 Sclerosing cholangitis

Ini merupakan penyakit hati kronik yang (melibatkan saluran hempedu) yang mempunyai kaitan dengan penyakit radang usus (IBD).

Ia boleh menyebabkan terbentuknya parut pada saluran hempedu dan menghalang aliran jus hempedu. Keadaan ini mengakibatkan jus tersebut mengalir semula ke dalam organ hati dan menyebabkan pembentukan parut.

Kira-kira 10 hingga 15 peratus individu yang mengalami masalah sclerosing cholangitis berisiko untuk didiagnosis dengan kanser saluran hempedu.

 

#10 Terdedah kepada aflatoksin

Aflatoksin merupakan sejenis toksin yang dihasilkan oleh kulat yang tumbuh pada makanan seperti gandum, kekacang dan jagung.

Ia boleh menyebabkan kerosakan pada gen p53 yang bertanggungjawab mengawal selia proses pembahagian dan kematian sel pada organ hati.

Toksin ini kebiasaannya dijumpai pada makanan yang tidak disimpan dengan baik. Jika diambil dalam jangka masa panjang, ia boleh mengakibatkan kanser hati.

 

#11 Faktor risiko genetik

Genetik merupakan komponen penting yang berinteraksi dengan faktor risiko lain dalam membentuk kanser.

Sehingga kini, kajian menunjukkan terdapat kaitan di antara keadaan kesihatan yang diwarisi dengan peningkatan risiko untuk mendapat kanser hati. Tidak mustahil untuk faktor genetik menjadi punca kanser hati.

 

#12 Hemokromatosis

Ini merupakan penyakit yang menyebabkan kadar penyimpanan dan penyerapan zat besi dalam badan meningkat melebihi kapasiti normal.

Elemen tersebut penting bagi setiap individu, namun jika berlebihan ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius seperti sirosis dan kegagalan fungsi hati.

Secara amnya, mereka yang didiagnosis dengan penyakit hemokromatosis mempunyai risiko 20 kali ganda untuk mendapat kanser hati berbanding dengan populasi umum.

 

#13 Penyebab penyakit hati, sirosis biliari primer

Keadaan kesihatan ini merupakan masalah autoimun yang menyebabkan pengumpulan jus hempedu di dalam organ hati.

Akibatnya, saluran hempedu boleh rosak dan menyebabkan kegagalan aliran jus hempedu untuk masuk ke dalam usus kecil.

 

#14 Penyakit Wilson

Sama seperti hemokromatosis, penyakit Wilson berlaku akibat pengumpulan elemen secara berlebihan di dalam badan. Namun, dalam konteks penyakit ini, elemen terlibat adalah tembaga.

Mereka yang didiagnosis dengan penyakit Wilson mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser hati.

 

#15 Penyakit warisan yang lain

Terdapat pelbagai jenis keadaan kesihatan warisan yang boleh meningkatkan risiko untuk mendapat kanser hati seperti:

  1. Kekurangan enzim alpha-1 antitrypsin
  2. Tirosinemia
  3. Porfiria hepatik akut
  4. Penyakit simpanan glikogen

 

 

#16 Faktor risiko gaya hidup: Penyebab penyakit hati

Sama seperti masalah kanser yang lain, gaya hidup tidak sihat boleh menjadi penyebab anda didiagnosis dengan penyakit barah hati. Antara amalan gaya hidup tidak sihat adalah seperti berikut:

  1. Pengambilan alkohol secara berlebihan (jangka masa panjang)
    1. Pengambilan alkohol secara berlebihan boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit.
    2. Antaranya radang hati dan penyakit hati alkoholik yang boleh menyebabkan sirosis dalam jangka masa panjang.
    3. Kesan daripada perubahan patologi tersebut, penghidap lebih berisiko untuk mendapat kanser hati.
    4. Secara amnya, kanser hati sering dikaitkan dengan pengambilan alkohol secara berlebihan atau lebih daripada 3 minuman sehari.

 

  1. Merokok
    1. Rokok adalah punca pelbagai jenis kanser termasuk penyakit barah hati.
    2. Banyak kajian telah membuktikan bahawa gabungan di antara tabiat merokok dan pengambilan alkohol boleh menyebabkan peningkatan yang signifikan untuk mendapat kanser hati.
    3. Bagi ibu yang merokok semasa atau sebelum hamil, anak anda berisiko untuk mendapat kanser hati hepatoblastoma.

 

  • Obesiti salah satu penyebab penyakit hati
    1. Walaupun kaitan di antara obesiti dan kanser masih tidak jelas, ia boleh meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit hati.
    2. Melalui keadaan kesihatan tersebut, risiko untuk mendapat kanser hati berlipat kali ganda, lebih-lebih lagi jika anda juga mempunyai masalah kencing manis.

 

  1. Penggunaan steroid anabolik
    1. Mereka yang menggunakan steroid anabolik (ahli bina badan) mempunyai risiko untuk mendapat kanser hati.
    2. Ia berikutan kesan bahan tersebut terhadap organ hati sehingga boleh menyebabkan kerosakan pada fungsi hati.

 

  1. Kunyah sirih
    1. Tabiat kunyah sirih sememangnya lazim dalam kalangan orang Asia. Ia juga merupakan faktor risiko bagi kanser hati. Insiden bagi masalah kesihatan tersebut tinggi terutamanya di kawasan luar bandar.

 

  1. Faktor Risiko Lain
    1. Terdapat faktor risiko lain yang boleh menjadi penyebab penyakit hati. Sebagai contoh, terdapat kajian yang menunjukkan prosedur buang hempedu boleh meningkatkan risiko untuk mendapat kanser hati. Begitu juga dengan prosedur imbasan radiasi seperti CT.
    2. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak bermakna penggunaan alat imbasan tersebut perlu dielakkan.
    3. Kesan baik perlu ditimbang tara dengan kesan negatif daripada sudut kesihatan jika ujian imbasan tersebut tidak dijalankan.

 

Kesimpulannya

Terdapat pelbagai jenis punca yang boleh menyumbang kepada berlakunya kanser hati. Walau bagaimanapun, sukar untuk kita khususkan faktor risiko spesifik kepada kanser yang anda hidapi. Ia berikutan punca kepada sesuatu kanser itu merupakan interaksi di antara pelbagai jenis faktor.

Terdapat pelbagai jenis faktor yang perlu dipertimbangkan bagi menurunkan risiko untuk mendapat kanser hati.

Walaupun jangkitan hepatitis merupakan aspek pencegahan utama memandangkan majoriti kes disebabkan oleh faktor tersebut, punca lain turut boleh menyumbang kepada pembentukan kanser. Salah satu cara untuk menjaga organ hati daripada dijangkiti kanser ialah dengan mengambil vaksin yang bersesuaian.

Oleh yang demikian, penting bagi setiap individu terutamanya yang mempunyai faktor risiko kanser untuk mendapatkan pemeriksaan awal sekiranya berisiko.

 

Penyakit kanser hati kebiasaannya didiagnosis pada tahap lewat memandangkan penghidap tidak mengalami simptom atau tanda pada peringkat awal.

Sekiranya anda mempunyai faktor risiko seperti jangkitan hepatitis kronik, pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat kesihatan berkaitan dengan rawatan dan cara menurunkan risiko kanser hati.

Justeru, jika anda mengalami simptom yang berkaitan dengan kanser hati, sila berjumpa doktor bertauliah untuk nasihat perubatan dan pemeriksaan kesihatan.

 

Disediakan oleh: Pn. Shafikah Binti Rahim

Sumber:

https://hellodoktor.com/kanser/kanser-hati/penyebab-penyakit-hati/

https://www.mdanderson.org/cancer-types/liver-cancer/liver-cancer-facts.html

https://www.cancer.org/cancer/liver-cancer.html

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/liver-cancer/symptoms-causes/syc-20353659

Tarikh Input: 26/10/2021 | Kemaskini: 13/05/2022 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXDcTA2~