BULAN KESEDARAN KANSER KOLOREKTAL | CANCER RESOURCE & EDUCATION CENTER
» ARTICLE » BULAN KESEDARAN KANSER KOLOREKTAL

BULAN KESEDARAN KANSER KOLOREKTAL

Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal jatuh pada bulan Mac setiap tahun. Sempena bulan kesedaran ini, KKM menyeru orang ramai agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat untuk mencegah kanser kolorektal, jalani ujian saringan sekiranya tidak mempunyai tanda dan gejala serta berusia antara 50–75 tahun, kenali tanda dan gejala awal  kanser kolorektal serta  dapatkan nasihat doktor untuk pemeriksaan lanjut dengan segera. Jangan berlengah.

 

Menurut laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) 2012-2016, secara keseluruhannya, kanser kolorektal merupakan kanser yang kedua paling kerap berlaku (13.5%) di Malaysia, selepas kanser payudara (19%). Dari segi jantina pula, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki (16.9%) dan kanser kedua paling kerap berlaku dalam kalangan wanita (10.7%).  MNCR 2012-2016 juga melaporkan lebih 70% kanser kolorektal dikesan berada pada tahap 3 serta 4 iaitu masing-masing 72.4% dalam kalangan lelaki dan 73.1% dalam kalangan wanita.

 

Kanser kolorektal merupakan kanser yang boleh dicegah dengan amalan gaya hidup yang sihat serta pengesanan awal melalui ujian saringan. Risiko kejadian kanser kolorektal meningkat dengan pertambahan usia, pernah disahkan mempunyai kolon polip, menghidap radang usus dan mempunyai sejarah keluarga yang disahkan mengidap kanser kolorektal. Selain itu, amalan gaya hidup sedentari, tidak aktif dan kurang pengambilan serat, sayur-sayuran dan buah-buahan kerap dikaitkan sebagai antara faktor yang meningkatkan risiko kejadian kanser kolorektal.

 

Pengesanan awal adalah amat penting dan peluang untuk kanser dirawat dengan baik semakin berkurang sekiranya ia dikesan lewat. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan perkhidmatan Saringan Kanser Kolorektal secara percuma menggunakan immunological Feacal Occult Blood Test (iFOBT) di klinik-klinik kesihatan dan diikuti dengan ujian kolonoskopi di hospital. Di samping itu, mengenali tanda-tanda dan gejala-gejala awal kanser kolorektal seperti kehadiran darah dalam najis, perubahan pola pembuangan najis (sembelit berselang dengan cirit) serta sakit perut yang berpanjangan adalah penting. Selain itu, rasa letih dan lesu serta hilang berat badan juga merupakan tanda-tanda amaran kanser. Tanda-tanda dan gejala ini mungkin tidak wujud pada peringkat awal.

 

Kesihatan anda adalah tanggungjawab anda. Jangan jadikan diri anda sebahagian dari statistik pesakit kanser kolorektal.  Anda boleh melakukannya!

 

Disediakan oleh: Puan Shafikah binti Rahim (Jururawat Pakar Klinikal)

Sumber:

https://kpkesihatan.com/2020/03/09/kenyataan-akhbar-kpk-9-mac-2020-bulan-kesedaran-kanser-kolorektal/?fbclid=IwAR0h_98ETle0XG71stQ_HvFNDuHzx0hHxbCerNWM1dR-HgWDoB-kYKW8LvM

https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Laporan/Umum/2012-2016%20(MNCRR)/MNCR_2012-2016_FINAL_(PUBLISHED_2019).pdf

http://www.myhealth.gov.my/kanser-kolorektal/

Date of Input: 10/03/2022 | Updated: 10/03/2022 | aimerul

MEDIA SHARING

CANCER RESOURCE & EDUCATION CENTER
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9767 9754
03-9769 2706
CVHCEAV:04:10